PROGRAM PENINGKATAN SAHSIAH & JATI DIRI MURID (SMKA Kuala Selangor)
Bismillahirrahmanirrahim dan Assalamualaikum,
Objektif
program:
1)
Mencungkil bakat dan potensi dalam diri setiap pelajar.
2)
Menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar sekolah.
3)
Meningkatkan disiplin dan jati diri dalam diri murid itu sendiri.
4)
Menghidupkan ukhuwah dan hubungan yang baik sesama pelajar.
Pada tanggal 17
November 2019, seramai 23 orang mahasiswa dari UIAM telah berangkat dari UIAM
ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Selangor sebagai fasilitator kepada
100 orang pelajar Tingkatan 2. Sebanyak 4 buah modul telah disediakan sebagai aktiviti kepada pelajar iaitu
“Lukisan Kita”, “Guidance”, “Ikut Sesuka Hati”, dan “Heart to Heart Session”
atau lebih dikenali sebagai Refleksi Diri bersama sama dengan fasilitator yang
diletakkan dalam kumpulan.
Sesi Taklimat |
Modul pertama yang dijalankan iaitu “Lukisan Kita” telah disediakan oleh Ketua
Fasilitator dengan bertemakan Komunikasi dianggarkan berjalan dalam jangka masa
selama sejam dan memerlukan sehelai kertas A4, sebatang pen dan kertas yang
dicetak dengan gambar situasi. Untuk memulakan aktiviti ini, Ketua Fasilitator
meminta agar setiap kumpulan melantik seorang ketua dan ketua tersebut perlu
bergerak ke hadapan dan melihat situasi yang dicetak pada sehelai kertas dengan
bantuan seorang fasilitator yang bertindak sebagai penolong kepada Ketua
Fasilitator. Kemudian, ketua tersebut perlulah melakonkan semula situasi yang
dilihat pada kertas itu di hadapan ahli kumpulannya tanpa menggunakan suara dan
hanya bergantung kepada aksi gerakan tangan. Ahli kumpulan perlulah meneka aksi
tersebut dan dibenarkan bertanya lima soalan dan jawapan yang diberikan oleh
ketua kumpulan perlulah “Ya” atau “Tidak”. Aktiviti sebegini bertujuan untuk
menekankan kepentingan komunikasi yang baik antara ketua dan ahli kumpulannya
agar setiap maklumat dapat disalurkan dengan berkesan. Dalam pada itu,
seseorang itu dapat melatih diri agar dapat menyampaikan maklumat kepada orang
lain dengan berkesan tanpa mengelirukan kedua-dua pihak.
Fasilitator memberi arahan permainan kepada murid |
“Guidance” yang merupakan modul yang kedua telah dijalankan dengan
mengambil kira konsep pengurusan masa sebagai tema. Bahan yang diedarkan kepada
setiap kumpulan adalah gambar yang dipecahkan menjadi bentuk “puzzle”. Objektif
kepada aktiviti ini ialah melatih pelajar untuk menjadi lebih sistematik di
samping mampu merancang masa dengan baik. Setiap kumpulan diberikan “puzzle”
yang telah dipecahkan kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil dan pada
pusingan yang pertama, setiap kumpulan dikehendaki untuk menyusun semula
kedudukan “puzzle” tanpa sebarang
petunjuk dalam masa 10 minit. Kemudian, dalam pusingan yang kedua, mereka
diberi tempoh waktu yang sama untuk menyusun semula “puzzle” setelah
fasilitator memecahkan “puzzle” terbabit kepada bahagian yang lebih kecil.
Namun, untuk pusingan yang kedua, terdapat petunjuk pada layar skrin yang
dipasang. Pada penghujung waktu, mereka boleh membuat perbandingan masa yang
diambil untuk menyiapkan “puzzle” dalam kedua-dua pusingan tersebut. Modul ini
mengetengahkan konsep penyediaan jadual sebelum melakukan setiap aktiviti atau
pekerjaan. Pelajar dapat memperoleh maklumat yang berguna dari modul ini iaitu
sesuatu pekerjaan lebih efisien dan tersusun sekiranya terdapat jadual
perancangan. Selain itu, perancangan sebelum kerja dapat mengelakkan berlakunya
pembaziran waktu dan aktiviti yang tidak berfaedah dalam waktu tersebut.
Bertungkus lumus menyiapkan tugasan |
Modul yang ketiga
dikenali sebagai “Ikut sesuka hati’ bertemakan kerjasama antara sesebuah
kumpulan telah melibatkan sehelai surat khabar yang diedarkan kepada semua
kumpulan. Aktiviti ini bertujuan untuk memupuk nilai kerjasama antara ahli
pasukan dan gabungan pasukan secara keseluruhan. Pada pusingan pertama, setelah
semua kumpulan telah memperoleh sehelai surat khabar, mereka dikehendaki
mencarik surat khabar tersebut kepada 5 bahagian dan diminta untuk menyerahkan
kepingan surat khabar itu kepada kumpulan yang berdekatan mereka dan menerima
kepingan surat khabar daripada kumpulan yang lain. Pengiraan markah telah
ditetapkan berdasarkan kumpulan yang pertama menyelesaikan susunan surat khabar
itu. Setelah itu, mereka diminta untuk mencarik surat khabar itu kepada 13
bahagian dan serahkan kepada kumpulan lain seperti di awal permainan. Kumpulan
yang terakhir menyusun kepingan surat khabar akan mendapat markah yang paling
rendah. Kemudian, pada pusingan ketiga, mereka sekali lagi diminta untuk
mencarik surat khabar kepada bahagian yang lebih kecil. Namun, terdapat syarat
yang berlainan iaitu mereka perlu menyusun semula cebisan surat khabar yang
dikoyakkan dengan kerjasama ahli kumpulan sendiri. Di akhir permainan, murid
telah didedahkan dengan konsep memudahkan orang lain supaya urusan sendiri akan
dipermudahkan Allah S.W.T kelak. Seterusnya, melalui aktiviti ini, semua
pelajar dapat mempelajari kesan daripada tindakan tanpa berfikir terlebih
dahulu.
Barisan Fasilitator, barisan pentadbiran sekolah dan adik-adik tingkatan 2 |
Modul yang keempat ialah Refleksi diri atau “Heart to Heart
session” bersama fasilitator dalam
kumpulan masing masing yang bertajuk Sahabat Impian. Mereka memerlukan sehelai
kertas A4 dan sebatang pen setiap seorang yang berlangsung selama 30 minit.
Setelah diedarkan kertas, mereka diminta untuk menulis “Saya ingin mempunyai
sahabat” pada sebelah kanan kertas dan “saya tidak suka mempunyai kawan yang..”
pada sebelah kiri. Mereka seterusnya perlu mengisi ciri-ciri tersebut
berdasarkan diri pandangan diri sendiri dan akhir sekali, fasilitator perlu
menerangkan tujuan permainan tersebut dilaksanakan. Setiap kumpulan perlu
memilih 3 orang wakil untuk membentangkan ciri-ciri yang ditulis di hadapan
ahli kumpulan masing masing. Setelah selesai berkongsi, fasilitator mengarahkan
agar tajuk “saya ingin mempunyai sahabat” diubah kepada “saya akan menjadi
sahabat..” manakala tajuk “saya tidak suka mempunyai kawan yang..” ditukar
kepada “saya tidak akan menjadi sahabat yang..”. Ibrah yang dapat diperoleh
oleh pelajar ialah sahabat itu adalah cerminan diri sendiri dan akhlak diri
dipengaruhi oleh rakan rakan di sekeliling. Selain itu, pelajar telah memahami
bahawa perubahan diri perlu dilakukan selari dengan pengharapan kepada sesuatu
yang baik.
Kesimpulannya , program ini telah berjalan dengan jayanya tanpa
sebarang masalah yang timbul . Objektif dan sasaran yang ditetapkan oleh pihak
sekolah telah tercapai untuk membentuk sahsiah pelajar bagi membuat persiapan
melangkah ke tingkatan 3 sekaligus bakal menduduki Pentaksiran Tingkatan 3 (
PT3 ) pada tahun hadapan. Semoga hubungan antara pelajar UIAM dan pihak sekolah
dapat dikekalkan sehingga ke hujungnya . Oleh itu, diharapkan program ini dapat
dijalankan lagi pada masa akan datang demi melahirkan generasi yang proaktif
dan profesional dalam melakukan apa jua pekerjaan .
Ulasan
Catat Ulasan