KEM JATI DIRI: MEMBENTUK SAHSIAH DAN MINDA POSITIF SK SERI MACHAP
Objektif:
●
Menyemai rasa menghargai diri dan keluarga
●
Mengenal pasti kelebihan dan kekuatan diri
●
Mengoptimumkan kelebihan dengan baik agar mampu memberi
kebaikan kepada orang sekeliling
Sk Seri Machap, Simpang Renggam
ialah sekolah yang menjadi pilihan untuk mengadakan ‘Kem Jati Diri Membentuk
Sahsiah dan Minda Positif.’ Kem ini berlangsung selama 2 hari 1 malam bermula
pada 21 Februari 2020 hingga 22 Februari 2020. Program ini melibatkan 26 orang
ahli daripada biro Registration and
Recruitment yang berfungsi sebagai fasilitator dan 79 orang pelajar sekolah
Sk Seri Machap, Simpang Renggam.
Kem ini bermula dengan mass modul yang merangkumi 3 jenis aktiviti. Aktiviti pertama ialah Sit in Groups, aktiviti kedua ialah Group Formation dan aktiviti 3 ialah Who Are We?. Pelaksanaan aktiviti
pertama bermula dengan ketua fasilitator menyebut empat ciri yang telah
ditetapkan iaitu i) warna tali kasut, ii) warna baju, iii) bulan kelahiran dan
yang akhir sekali iv) umur. Dalam aktiviti ini, para pelajar perlu mencari ahli
kumpulan berdasarkan ciri-ciri yang telah disebutkan oleh ketua fasilitator dalam
jangka masa 5 saat. Para pelajar
seterusnya diminta berhenti jika ketua fasilitator menyebut perkataan
“berhenti”. Selepas aktiviti pertama selesai, aktiviti kedua pula menyusul.
Dalam aktiviti kedua ini, fasilitator mengedarkan cebisan kertas yang mempunyai
logo super hero. Para pelajar perlu
mencari kawan-kawan mereka yang mempunyai logo superhero yang sama tanpa mengeluarkan suara. Dengan kata lain, para pelajar
perlu mencari ahli kumpulannya dengan menggayakan aksi yang terdapat pada logo
yang mereka terima. Kemudian mereka akan duduk dalam satu kumpulan bersama-sama
kawan-kawan yang mempunyai logo yang sama. Untuk aktiviti ketiga pula
fasilitator mengagihkan kain kepada para pelajar. Kain ini akan digunakan
sebagai tanda nama (name tags) yang perlu
dililit dan diikat di kepala pelajar. Lilitan ini memudahkan kawan-kawan dan terutamanya
fasilitator untuk mengetahui nama setiap pelajar. Setelah itu, para pelajar
diminta untuk menentukan empat perkara iaitu i) ketua kumpulan, ii) nama
kumpulan, iii) sorakkan dan iv) moto kumpulan. Modul ini berlangsung selama
lebih kurang 90 minit. Modul ini memberi satu pengajaran iaitu membolehkan para
pelajar dan fasilitator dapat mengenali antara satu sama lain dengan lebih
dekat.
Seterusnya, selesai Mass Module tadi, kem ini diteruskan
dengan modul yang pertama iaitu Two Truth
and a Tale. Dalam aktiviti ini, para pelajar perlu memperkenalkan diri
dengan menyatakan nama, asal, umur dan
tiga fakta tentang diri sendiri. Untuk tiga fakta ini, para pelajar diminta
untuk memberikan dua fakta yang benar dan satu fakta yang salah tentang diri
mereka. Ahli kumpulan lain pula perlu meneka fakta yang salah tentang pelajar
berkenaan. Seterusnya, pelajar berkenaan pula diminta untuk memberikan sebab
fakta itu salah. Semua ahli kumpulan akan membuat perkara yang sama. Modul ini mengambil
masa selama 60 minit. Pengajaran daripada modul ini adalah janganlah bersangka
buruk kepada orang lain dan lebih baik bertanya dahulu sebab sesuatu perkara itu
berlaku sebelum membuat andaian sendiri.
Modul kedua pula berlangsung pada
sebelah petang. Modul ini diberi nama Explorace.
Para pelajar perlu menyelesaikan 8 checkpoints
(8 kumpulan) untuk memenangi explorace
ini. Modul ini memakan masa selama 135 minit. Setiap checkpoint mempunyai pengajaran tersendiri. Contohnya, pada checkpoint ke-2 yang diberi nama Deco The Model, para pelajar dapat
menggunakan kreativiti masing-masing. Kreativiti ini sangat penting dalam apa-apa jua perkara.
Modul ini mengajar para pelajar untuk bekerjasama antara satu sama lain dan
mengeratkan hubungan antara satu sama lain.
Seterusnya, modul ketiga ialah Town Planning. Dalam aktiviti ini, para
pelajar perlu melukis bandar impian mereka di atas kertas mahjong. Mereka perlu
melantik lima orang menteri seperti Menteri Pertahanan, Menteri Kesihatan,
Menteri Pengangkutan, Menteri Belia Dan Sukan dan Menteri Pendidikan. Selepas
mereka selesai melukis bandar, menteri- menteri yang dilantik akan
membentangkan bandar impian mereka kepada semua kawan mereka. Modul ini
mengambil masa selama 1 jam 30 minit. Modul ini mempunyai dua objektif iaitu
yang pertama adalah menjana idea yang bernas melalui perbincangan sesama
sendiri manakala objektif kedua adalah pelantikan menteri untuk melakukan kerja
masing-masing untuk menghasilkan kerja yang cepat dan efisien.
Kem ini diteruskan dengan modul yang
keempat iaitu Periuk Api. Modul ini dilakukan untuk memupuk rasa percaya antara
ahli kumpulan, menguji cara para pelajar berkomunikasi antara satu sama lain
dan menerapkan sifat kejujuran dalam apa jua kerja yang dilakukan. Semua ahli
kumpulan diminta untuk menutup mata dengan tanda nama masing-masing kecuali
ketua. Pelajar lelaki dan perempuan disediakan tali rafia untuk menghubungkan
mereka antara satu sama lain supaya barisan tidak terputus. Seorang ketua
daripada setiap kumpulan diminta memberi arahan kepada ahli kumpulannya untuk
mengumpulkan harta karun (stickey notes)
sebanyak yang mungkin. Ketua perlu membimbing ahli kumpulannya dengan sebaik
yang mungkin kerana mereka perlu mengelak periuk api (kerusi plastik) yang ada
di dalam kawasan tersebut. Peruntukan masa untuk menyiapkan modul ini adalah
selama 90 minit. Pengajaran daripada modul ini adalah pengikut perlu
mempercayai ketuanya dalam apa jua situasi asalkan tidak bercanggah dengan
ajaran agama sepertimana kita sebagai umat Nabi Muhammad S. A. W perlu
mempercayai Baginda.
Modul kelima ialah Quick Ball. Dalam modul ini,
para pelajar perlu lengkapkan satu pusingan dengan menghantar bola kepada
setiap ahli kumpulan. Para pelajar perlu melengkapkan satu pusingan secepat
yang boleh. Maksudnya mereka perlu memikirkan strategi untuk melengkapkan
permainan ini dalam masa yang paling pantas. Syarat untuk menghantar bola
adalah para pelajar perlu menyebut apa sahaja perkataan yang terlintas dalam
fikiran mereka sebelum menghantar bola kepada ahli seterusnya. Modul kelima ini
mengambil masa lebih kurang 60 minit untuk mereka menyelesaikannya. Objektif
modul ini adalah untuk memberitahu kepada para pelajar bahawa masa itu emas dan
strategi adalah sangat penting supaya apa sahaja yang kita rancang akan
berjalan dengan lancar.
Kem ini diakhiri dengan modul keenam
iaitu Surat Layang. Modul ini bertujuan untuk para pelajar memberi kata-kata
semangat atau pujian atau harapan kepada kawan-kawan yang lain. Setiap pelajar
diberikan kertas untuk menulis kata-kata semangat kepada tuan empunya kertas.
Ketua fasilitator memberi isyarat seperti ‘tukar’ untuk para pelajar menghantar
kepingan kertas kepada rakan di sebelah kanan mereka. Modul terakhir ini
memerlukan masa sebanyak 30 minit untuk diselesaikan. Objektif modul ini adalah
untuk menyemai rasa kasih sayang antara satu sama lain.
Barisan fasilitator
bersama para guru Sk Seri Machap dan pelajar-pelajar
Barisan
fasilitator yang terlibat
Pelajar-pelajar
sedang melakukan salah satu energizer
Suasana semasa LDK 4 (Periuk Api) sedang dijalankan |
Akhir kalam, kami berharap para pelajar dapat menjadi insan yang mempunyai sahsiah yang cemerlang dan minda yang positif. Selain itu, kami juga berharap para pelajar dapat menjadi pelajar yang cemerlang dalam apa jua bidang yang diceburi. Saya mewakili fasilitator berharap para pelajar berkongsi ilmu yang telah dipelajari selama 2 hari 1 malam kepada kawan-kawan yang tidak dapat menyertai kem ini. Harapan kami adalah supaya program sebegini dapat diadakan lagi pada masa akan datang. Sekian, terima kasih.
Ulasan
Catat Ulasan