PROGRAM KEM SMART SOLAT SMK PUSAT BANDAR BARU PUCHONG 1 (27 APRIL 2019)


Bismillahirrahmanirrahim dan Assalamualaikum,
Objektif Kem:
1)    Menambahkan ilmu pengetahuan pelajar tentang solat harian.
2)    Memberi pendedahan kepada pelajar tentang pentingnya cara bacaan dan tatatertib dalam solat.
3)    Menguji pengetahuan pelajar tentang rukun, syarat dan bacaan dalam solat.
4)    Memupuk semangat berpasukan pelajar yang berbeza tingkatan.
5)    Memberi peluang kepada pelajar untuk berfikiran kreatif dan terbuka.

Satu sesi pengenalan dan sebanyak tiga modul telah dijalankan oleh para fasilitator iaitu sesi suai kenal (ice breaking), pembentukan kumpulan (group formation), modul tahu ke tak tahu dan explo-solat. Dalam sesi suai kenal, kami telah memilih aktiviti kotak beracun. Objektif sesi ini adalah untuk merapatkan hubungan antara pelajar yang berbeza umur. Selain itu, ia bertujuan untuk menhilangkan rasa ketidakselesaan sepanjang program ini berlangsung.
Bagaimana aktiviti ini dijalankan adalah apabila pelajar dibahagikan dalam empat kumpulan. Setiap kumpulan terdiri daripada 15 pelajar. Mereka diarahkan untuk duduk dalam bulatan. Seterusnya, apabila muzik dimainkan sebuah kotak yang telah disediakan oleh fasilitator perlu digerakkan oleh seorang demi seorang dalam bulatan terebut sehingga muzik berhenti. Di dalam kotak tersebut berisi beberapa kertas soalan untuk pelajar mejawabnya.
 Kemudian, pelajar yg memegang kotak tersebut sewaktu muzik itu berhenti dikehendaki untuk bangun dan memperkenalkan diri kepada semua pelajar dalam bulatan tersebut. Pelajar yang berdiri itu juga haruslah menjawab satu soalan yang dicabutnya dari kotak itu. Contoh soalan adalah seperti makanan kegemaran, hobi, harapan untuk bulan Ramadhan akan datang dan kenangan yang tidak dapat dilupakan. Setelah menjawab soalan tersebut, mereka dikehendaki untuk duduk di tengah bulatan untuk membezakan pelajar yg sudah kena dan tidak. Aktiviti ini dilakukan sebanyak 4 hingga 5 pusingan bagi semua kumpulan bulatan. Ibrahnya, pelajar dilihat lebih kenal antara satu sama lain walaupun mereka berbeza tingkatan. Di samping itu, aktiviti ini mengeratkan lagi silaturrahim antara pelajar di mana mereka dapat mengenal lebih dalam tentang latar belakang pelajar lain.
Barisan Fasilitator STUFFIIUM Kem Smart Solat  SMKPBBP1
         Selesai sesi yang pertama, kita beralih pada modul pertama iaitu pembentukan kumpulan. Modul ini diberi nama Rumahku Syurgaku. Dalam modul ini, pelajar dikehendaki membentuk lapan kumpulan. Pelajar diminta beratur mengikut tingkatan dan kiraan 1 hingga 8 dibuat secara melintang bermula dari tingkatan 1 untuk nombor satu diikuti tingkatan 2 untuk nombor 2 dan seterusnya sehingga lah nombor 8. Setiap kumpulan dianggotai oleh 7 hingga 9 orang pelajar.
Modul kedua ini dimulakan oleh ketua fasilitator yang memberi arahan supaya setiap  kumpulan menghantar seorang wakil untuk mengambil bahan modul iaitu kertas mah-jong dan marker. Pada masa yang sama, setiap wakil telah diberi nama kumpulan berpandukan nama bulan Islam iaitu Muharam, Safar, Rejab, Syaaban, Ramadhan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah. Setelah wakil kumpulan beredar masuk dalam kumpulan mereka masing-masing, mereka diberi arahan untuk mencipta logo dan cheers berdasarkan nama kumpulan dan tajuk modul itu sendiri. Masa yang diperuntukkan untuk modul ini adalah selama 40 minit.
Kemudian, mereka dikendaki membentangkan logo dan melakukan cheers mereka di hadapan kumpulan yang lain. Tiga kumpulan terbaik diberi ganjaran pelekat (sticker) oleh ketua fasilitator di akhir aktiviti. Sedikit ibrah yg diperolehi daripada aktiviti ini ialah kita mestilah berfikiran kreatif dalam mencipta logo yg menarik dan bersesuaian dengan tajuk. Selain itu, kita haruslah berkongsi pendapat dan idea untuk melakukan cheers supaya semua ahli kumpulan lebih bersemangat untuk melakukannya.
Modul seterusnya yang bertajuk “Tahu ke Tak Tahu” dijalankan selepas selesai minum pagi. Dalam modul ini, pelajar masih dikekalkan dalam kumpulan yang sama seperti modul satu. Seperti sebelumnya, seorang wakil kumpulan dikehendaki untuk tampil ke hadapan bagi mencabut tugasan kumpulan mereka. Setiap kumpulan akan mendapat tajuk yang berlainan yang berkaitan solat dan mereka diminta untuk menerangkan tugasan tersebut dalam bentuk cerita.
 Antara tajuk yang disediakan kepada setiap kumpulan adalah (i) rukun solat, (ii) perkara yang membatalkan solat, (iii) syarat sah solat, (iv) syarat wajib solat, (v) cara khusyuk solat, (vi) kelebihan solat dan (vii) akibat meninggalkan solat. Aktiviti ini dijalankan selama 1 jam. Tiga kumpulan terbaik yang mempunyai persembahan menarik diberi pelekat (sticker) untuk ditampal atas kertas mah-jong mereka. Ibrah yang diperoleh daripada modul ini adalah pelajar mengaplikasikan perbuatan harian mereka dalam solat ke dalam bentuk cerita iaitu lakonan. Ini menunjukkan mereka faham akan setiap elemen-elemen yang berkaitan tentang solat.

Energizer session

Akhir sekali, modul 3 adalah explo-solat dimana aktiviti ini melibatkan lapan checkpoint yang terletak di sekitar kawasan sekolah. Pelajar masih dikekalkan dalam kumpulan yang sama, mereka dikehendaki melakukan beberapa tugasan di setiap checkpoint. Pada permulaannya, ketua fasilitator memberi sedikit penerangan tentang pergerakan pelajar supaya mereka tahu ke mana dan apa yang perlu dilakukan. Selepas itu, ketua kumpulan diberi klu lokasi checkpoint untuk mereka tuju. Contohnya, kumpulan 1 (Muharam) diarahkan untuk bergerak ke checkpoint 1 manakala kumpulan 2 (Safar) harus bergerak ke checkpoint 2 dan begitulah seterusnya untuk kumpulan yang lain. Setiap kumpulan mestilah melepasi semua checkpoint di mana perkara tersebut dibuktikan melalui tandatangan fasilitator bertugas pada kad yang diberi. Tambahan pula, kumpulan yang Berjaya menyelesaikan tugasan di setiap checkpoint diberi pelekat (sticker) sebagai ganjaran. Kumpulan yang berjaya mengumpul sticker sebanyak yang mungkin akan dikira sebagai juara. Explo-solat ini dijalankan selama 1 jam setengah. Untuk makluman, setiap checkpoint mempunyai tugasan dan permainan yang berbeza. Setiap checkpoint juga dijaga oleh dua orang fasilitator untuk memberi arahan dan menilai tugasan-tugasan yang diberikan kepada pelajar.

Merujuk perkara di atas, checkpoint 1 adalah tugasan susun ayat. Pelajar dikehendaki untuk menyusun bacaan doa atau bacaan dalam solat mengikut turutan yang betul. Contohnya, bacaan doa qunut dipisahkan menjadi beberapa bahagian maka pelajar perlu menyusun doa tersebut dalam turutan bacaan yang betul. Seterusnya checkpoint kedua adalah berkaitan tayammum dan wudhuk. 

Adik-Adik Sedang Menyelesaikan Checkpoint Pertama
Bahan yang digunakan adalah tepung untuk tayammum dan air paip untuk berwudhuk. Pelajar diberi arahan untuk menyebut turutan cara berwudhuk dan tayammum. Setiap seorang pelajar perlu menyatakan jawapan dan menggayakan rukun tersebut secara berturutan. Kemudian, fasi akan memberi satu situasi contohnya terdapat seorang lelaki terlibat dalam kemalangan lalu kaedah berwudhuk yang bagaimana harus dia lakukan untuk membolehkannya solat. Pelajar perlu meneka sama ada kaedah berwudhuk menggunakan air ataupun bertayammum. 
Selanjutnya, check point 3 adalah tentang membariskan ayat. Pelajar perlu melastik getah ke arah kertas yang telah ditampal di dinding secara bergilir-gilir. Kertas tersebut mengandungi bacaan dalam solat yang tiada tanda bacaan. Jika getah yang dilastik berjaya mengenai mana-mana kertas maka, pelajar perlulah membariskan ayat yang ditulis pada kertas tersebut. Kemudian, checkpoint 4 memerlukan pelajar untuk mencari pasangan. Aktiviti ini dilakukan apabila pelajar diminta untuk mengambil jarak antara satu sama lain.
 Setiap pelajar akan dilekatkan kertas di belakang mereka. Kertas yang ditampal adalah berbentuk gambar dan bacaan solat. Setiap pelajar akan mendapat jenis kertas yang berbeza. Justeru itu, mereka dikehendaki mencari pasangan masing-masing contohnya gambar perbuatan sujud perlu mencari pasangan mereka yang ditampal kertas bacaan sujud. Setelah mereka berjaya mencari pasangan, mereka diminta untuk berjumpa fasi bertugas dan memberitahu apakah pergerakan tersebut dan bilakah dilakukan. 
Menyanyikan Lagu Tema
Di samping itu, aktiviti di checkpoint 5 adalah charade solat. Seorang wakil kumpulan diminta kehadapan untuk memegang kad yang mengandungi gambar-gambar perbuatan dalam solat dan meneka gaya yang dilakukan oleh ahli kumpulan mereka. Kad tersebut perlulah diletakkan di atas kepala supaya wakil tersebut tidak dapat melihat jawapan bagi gaya-gaya tersebut. Seterusnya, checkpoint 6 adalah aktiviti sambung menyambung. Pelajar diminta untuk berdiri sebelah menyebelah lalu mereka diberi sepotong ayat lazim dari al-Quran ataupun bacaan dalam solat untuk disambung oleh rakan sebelah. Setiap jawapan yang salah akan ditukar dengan ayat yang baru. 
Tambahan pula, checkpoint 7 adalah berkaitan dengan surah lazim. Pelajar akan diberikan beberapa helaian kertas yang mengandungi nama-nama surah lazim. Mereka mestilah menyusun turutan ayat-ayat tersebut bermula dari surah ad-Dhuha sehingga surah an-Nas. Checkpoint yang terakhir iaitu checkpoint 8 telah dilakukan aktiviti yang diberi nama solat itu dan ini. Pelajar ditugaskan untuk menyenaraikan 5 jenis solat sunat mengikut waktu dikerjakan, niat dan tujuan solat itu dilakukan. Mereka hendaklah memadankan kertas-kertas yang tertera solat sunat dengan waktu ia dilakukan berserta niatnya.
Secara keseluruhannya, setiap aktiviti yang dijalankan dalam setiap checkpoint adalah sangat bermanfaat. Pelajar secara tidak langsung mempelajari tentang apa yang sepatutnya mereka patut lakukan untuk setiap perbuatan dalam solat. Selain itu, mereka juga dapat memahami setiap arahan dan tunjuk ajar yang diberikan oleh fasi bertugas. Setiap kumpulan juga dilihat sangat bersemangat terutamanya apabila ia melibatkan tugasan beramai-ramai kerana mereka saling membantu antara satu sama lain. Di samping itu, setiap tugasan juga dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mereka tentang solat. Mereka juga dapat mengaplikasikan apa yang telah dipelajari di dalam kelas ke dalam tugasan yang diberikan di setiap aktiviti checkpoint.
Gambar Fasilitator STUFFIIUM bersama warga SMK PBBP1
Khulasahnya, Harapan kami adalah supaya aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan sedikit sebanyak dapat memberi kesan kepada para pelajar terutamanya kepada mereka yang kurang mengambil berat tentang pentingnya solat dan perbuatan-perbuatan yang berkaitan. Pada masa yang sama, kami amat berharap supaya aktiviti-aktiviti tersebut dapat meningkatkan keyakinan diri dalam setiap pelajar dalam melakukan ibadah solat dan dapat membentuk sahsiah diri yang baik demi melahirkan modal insan yang berguna untuk keluarga, agama dan negara. Tuntasnya, kami berharap agar Kem Smart Solat ini dapat membuka minda semua yang terlibat bahawa solat itu sangat penting dan tidak boleh diambil ringan. Oleh itu, setiap orang berperanan untuk memastikan solat yang dilakukan adalah sempurna dan tertib.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KEM JATI DIRI: MEMBENTUK SAHSIAH DAN MINDA POSITIF SK SERI MACHAP

KEM KEPIMPINAN & MOTIVASI KECEMERLANGAN ‘BRILLIANT KHALIFAH’ SK PARIT MELANA 2020

PROGRAM TUNAS PEMIMPIN: KEM KEPIMPINAN UNTUK PELAJAR SK BANDAR BARU SRI DAMANSARA