Istiqamah...
“Aku tahu aku silap, ingat Dia hanya saat aku susah…”
“Saat aku senang, hanya sedikit aku peruntukkan masaku buat Dia, padahal kerana sayang dan kasihNyalah aku senang begitu…”
“Aku tahu, dan aku belajar…namun aku masih lalai lagi…”
“Tika ada yang menegur, aku memilih untuk membutakan hati walau aku tahu apa yang bakal aku terima di sana…”
Situasi begini kerap kali berlaku dalam hidup kita. Kita mahu berubah, namun kita kalah juga pada saat akhir. Walau habuan cukup dekat dengan hati kita, kita tidak berupaya jua untuk meraih kemenangan tersebut.
Kita selalu begini, lebih suka mengingati hanya tika duka dan alpa tika gembira. Tika kita sakit, dan ditimpa segala pilu, kita memilih untuk mengingatiNya setiap masa yang kita ada. Tika kesenangan hadir, bukan kita melupakan Dia, namun, ingatan kita padaNya terasa berkurang berbanding dengan tika susah. Sebenarnya, kita salah seorang yang bertopengkan muka baik, namun bukan pada hati.
Kadang-kadang, kita berusaha untuk mengawal perasaan itu yang cukup untuk membuktikan kita tahu erti syukur sebagai seorang hamba, namun kita masih tewas dengan emosi sendiri. Oh Allah, bukan itu niat sebenar kami padaMu, namun jika hal sekecil itu tak dapat kami buktikan padaMu, kami bukan dalam golongan mu’min yang beriman.
Emosi cukup susah untuk menandingi kuasanya aqal jika iman tak pernah dikukuhkan. Insan dilahirkan penuh dengan sifat positif, namun tika hati terpikat dan terikat rapat pada dunia, habislah hati. Rosaklah jiwa, hancurlah jasad saat bertemu pengawalnya neraka. Tangis yang ada, tak akan mengalir lagi kala itu, kerana kesakitan yang ditanggung tak mampu lagi ditahan jasad, saat itu jasad hanya mampu menerima tanpa keluhan kerana keluhan itu cukup pedih untuk diluahkan.
Bagaimana nak tangani sikap tidak istiqamah di atas?
1. Hadirkan rasa bersalah dalam diri dan iringi dengan taubat yang sebenar-benar taubat.
2. Berfikir tentang hakikat hidup seorang hamba.
3. Muhasabah diri tentang akibat yang bakal diterima sama ada di dunia jua akhirat sana.
4. Selami hidup qudwah hasanah (Muhammad SAW).
5. Amalkan segala ilmu yang ada, bukan hanya disimpan membuta sehingga dijemput menghadap Dia.
Tiada ayat yang lebih indah melainkan potongan Quran…
“Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera bertaubat kepada Tuhannya dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepadaNya; kemudian apabila Allah memberikannya sesuatu ni’mat (sebagai kurnia) daripadaNya, lupalah ia akan segala bahaya yang menyebabkannya merayu kepada Allah sebelum itu,…” (Az-Zumar : 8)
“...Ia Maha mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.” (Az-Zumar: 7)
~Ilmu Tanpa Amal Umpama Pohon Tidak Berbuah~
Ulasan
Catat Ulasan